Antara 13 individu yang ditahan kerana disyaki berkhalwat di rumah sewa di Tambang Badak, Alor Setar. FOTO Ihsan JAIK
Antara 13 individu yang ditahan kerana disyaki berkhalwat di rumah sewa di Tambang Badak, Alor Setar. FOTO Ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 13 individu dicekup berkhalwat sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam sebuah rumah di Tambang Badak, di Alor Setar, hari ini.

Mereka terdiri daripada tujuh wanita dan enam lelaki berusia antara 17 hingga 30 tahun itu dicekup berkhalwat dalam serbuan jam 9 pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam berkaitan kumpulan terbabit yang berkurung dalam rumah itu sehingga mengundang syak.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka penduduk tetap di negeri itu.

“Ketika ditahan, mereka memberi alasan hanya bersembang namun ketika (serbuan) pintu rumah tertutup rapat dan ia menimbulkan syak berlakunya maksiat.

“Selain itu, kami menerima banyak aduan berkaitan ada remaja lelaki keluar masuk ke rumah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

Beliau berkata, berikutan itu kesemua mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, pihaknya juga menyerahkan kumpulan terbabit kepada pihak polis untuk melakukan ujian saringan air kencing.

“Daripada 13 yang ditahan, 10 daripadanya positif dadah dan kita diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kita menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral atau maksiat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 7:53 PM
Digital NSTP Subscribe