Zaid Salim


WARGA emas yang terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, jam 7.45 pagi tadi, meninggal dunia selepas empat jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pesara Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kajang, Kamarudin Sulaiman, 70, mengalami kecederaan parah dirawat di unit kecemasan manakala isteri, Ramlah Yusof, 66, yang cedera di bahu dirawat di hospital sama.

Anak ketiga mangsa, Norazuwa Kamaruddin, 34, berkata, arwah bapanya meninggal pada jam 11.45 pagi iaitu selepas empat jam dimasukkan ke unit kecemasan.

“Kematiannya yang secara mengejut sangat terkesan kepada kami. Bagaimanapun sudah ajalnya dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HSNZ.

Norazuwa berkata, kali terakhir dia bertemu bapa ketika makan tengah hari di rumah di Taman Marwah, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

“Masa makan saya kami bersembang seperti biasa. Tetapi sudah tiga minggu mata kiri saya tak berhenti berkedip dan tidak tahu kenapa sehinggakan saya bertanyakan perkara itu pada suami. Rupa-rupanya saya nak menangis hari ini,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika ibu bapanya dalam perjalanan untuk sarapan pagi selepas menghantar adik menjalani temu duga di bandar Kuala Terengganu.

“Ayah keluar rumah bersama ibu dan adik, Noraizan, 29, jam 6.50 pagi dan tidak sempat untuk bersarapan,” katanya yang tinggal di Taman Permai Batu 22, Ajil, Kuala Berang.

Katanya, selepas menghantar adik, arwah bapa kemudian menghala ke Dataran Shahbandar untuk sarapan sementara menunggu adik selesai menjalani temu duga.

“Bagaimanapun sebaik tiba di simpang tiga berhampiran Dataran Shahbandar, kereta ayah terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan air batu, jam 7.45 pagi,” katanya.

Katanya, dia menerima berita kemalangan bapanya selepas adik perempuannya, Nor Akma, 31, menelefonnya.

“Saya terus ke bilik kecemasan dan doktor berusaha menyelamatkan bapa sebelum bapa menghembus nafas terakhir di hadapan saya,” katanya.

Katanya, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara, Kuala Berang sejurus selepas solat Isyak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 9:49 PM
 JENAZAH Kamarudin dibawa pulang ke kampung keluarga di Kuala Berang. FOTO Zaid Salim
JENAZAH Kamarudin dibawa pulang ke kampung keluarga di Kuala Berang. FOTO Zaid Salim