Mohamed Farid Noh


SERAMAI 147 warga China dari Wuhan dan wilayah Hubei dihalang memasuki negara ini, dari 27 Januari lalu sehingga semalam.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak koronavirus baharu ke Malaysia.

“Paling ramai kita hantar pulang adalah warga China yang bekerja dalam industri perkapalan di Pelabuhan Klang, iaitu seramai 65 orang.

“Kedua paling ramai adalah 30 orang China dari wilayah terjejas yang mahu memasuki negara dari Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah.

“Mereka turut tidak dibenarkan masuk, ” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Islandar (BSI) di Johor Bahru, hari ini.

Muhyiddin berkata, buat masa ini kerajaan hanya menghalang kemasukan warga China dari bandar dan wilayah terjejas serta tiada sekatan kepada mereka dari bandar dan wilayah lain.

“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa kita tidak sekat kemasukan 100 peratus warga China berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan awam global.

“Namun WHO juga tidak meminta kemasukan warga China disekat sepenuhnya.

“(Jadi) jangan salah faham, kementerian berpandukan kepada keputusan sekatan yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan. Jika Kementerian Kesihatan kata tidak perlu sekatan, kita tidak akan buat.

“Bagaimanapun, kementerian sentiasa bersiap-siaga mengenakan sekatan mengikut Akta Imigresen jika Kementerian Kesihatan membuat keputusan ia perlu dilakukan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya alat pengimbas haba di CIQ BSI ditambah lagi memandangkan 70 peratus pelancong memasuki negara menerusi CIQ itu.

Ditanya sama ada Festival Perarakan Chingay 2020 yang akan diadakan pada 14 Februari di Johor Bahru perlu dibatalkan kerana bimbang penularan koronavirus, Muhyiddin berkata, tiada sekatan ke atas festival berkenaan.

“Kementerian tiada halangan atau sekatan terhadap penganjuran festival ini kerana kita sudah kawal pintu masuk negara dengan ketat.

“Jadi buat apa kita mahu halang atau batalkan acara yang akan diadakan dalam negara, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 12:44 PM
    GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.

    GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.

    Kabinet Malaysia 2020