TENGKU Maimun Tuan Mat.
TENGKU Maimun Tuan Mat.
BERNAMA

MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya hari ini menangguhkan pendengaran rayuan berkaitan permohonan writ habeas corpus difailkan seorang peruncit berhubung penahanannya kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim, berkata, peguam S.Selvam, yang mewakili B.Subramaniam, perlu menunggu sehingga Mahkamah Rayuan selesai mendengar dan memutuskan rayuan anak guamnya berhubung isu sama.

Beliau kemudian menetapkan 1 April sebagai pengurusan kes bagi rayuan itu.

Selvam memaklumkan mahkamah bahawa rayuan anak guamnya, yang belum selesai di Mahkamah Rayuan, juga berdasarkan isu yang sama iaitu berkaitan kesalahan Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Semasa prosiding bermula, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti mengemukakan bantahan awal atas alasan rayuan Subramaniam adalah akademik kerana tempoh penahanannya sudah berakhir iaitu pada 6 November tahun lalu dan dia didakwa pada Oktober 2019 mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Selvam berkata terdapat isu yang masih boleh dihujah berkaitan Seksyen 4 (5) SOSMA, peruntukan yang diguna pakai untuk melanjutkan tempoh penahanan Subramaniam melebihi 28 hari.

Beliau berkata peruntukan itu tidak lagi berkuat kuasa dan tidak sah mulai 31 Julai 2017 susulan kegagalan Menteri Dalam Negeri menerbitkan dalam Warta, resolusi yang diluluskan Parlimen di bawah Seksyen 4(11) SOSMA.

Seksyen 4(5) SOSMA memberi kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengganas bagi tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan.

Seksyen 4(11) menyatakan bahawa Seksyen 4(5) hendaklah disemak setiap lima tahun dan tidak akan berkuat kuasa melainkan semakan itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Selvam berkata anak guamnya sudah membangkitkan isu yang sama dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya namun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuan berhubung keputusan itu belum selesai di Mahkamah Rayuan.

Subramaniam, 58, didakwa menyokong LTTE melalui akaun Facebooknya pada 7 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau 30 tahun, atau denda, jika sabit kesalahan.

Dia sudah ditahan polis pada 10 Oktober tahun lalu dan memfailkan writ habeas corpus untuk membebaskan dirinya namun gagal selepas permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 8:57 PM