MENANGKAP itik antara yang diadakan pada Pesta Angin Timur sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
MENANGKAP itik antara yang diadakan pada Pesta Angin Timur sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PESTA Angin Timur 2020 (PAT2020) yang dijadual berlangsung di Kampung Oran, Mata Ayer, Kangar bermula 28 Februari ini berkemungkinan diteruskan seperti dirancang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan pembatalan program perhimpunan berskala besar, susulan penularan wabak koronavirus.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat induk khas dalam masa terdekat.

“Setakat ini jadual PAT2020 masih ada lagi (berjalan seperti biasa), namun kita akan mengadakan satu mesyuarat induk dalam masa terdekat untuk melihat sebarang risiko yang perlu dihadapi dalam penganjurannya.

“Kita akan dapatkan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dan sekiranya kita dinasihatkan untuk tidak teruskan (PAT2020), kita akan ambil keputusan yang selaras.

“Kita tidak mahu risiko peserta dan pengunjung dijangkiti virus, namun setakat ini belum ada keputusan penuh untuk membatalkannya,” katanya ketika ditemui dalam Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, semalam.

PAT2020 adalah acara pembukaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dan memasuki tahun ke-10 penganjuran yang mampu menghimpunkan hampir 100,000 orang.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 11:08 AM