KERETA Perodua Myvi dipandu laju sebelum merempuh kereta peronda polis awal pagi tadi.
KERETA Perodua Myvi dipandu laju sebelum merempuh kereta peronda polis awal pagi tadi.
Amirul Aiman Hamsuddin


DUA anggota polis Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berdepan detik cemas sejurus kenderaan dinaiki dirempuh sebuah kereta disyaki dipandu dalam keadaan mabuk.

Kejadian berlaku jam 3.44 pagi tadi di Kilometer 16.4, Lebuhraya Grand Sepadu menghala ke Klang, Selangor.

Bagaimanapun kedua-dua anggota polis yang menaiki kereta peronda Proton Waja itu bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan.

Menurut sumber, kedua-dua anggota terbabit dalam perjalanan memberi bantuan kepada kenderaan Land Rover Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, yang mengalami kerosakan di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika berada di lokasi, sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang dipandu laju di lorong kiri

merempuh kereta peronda polis berkenaan.

“Difahamkan seorang lelaki yang juga pemandu kereta Myvi berusia 20-an ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk. Bagaimanapun ujian perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, video kemalangan itu tular di laman sosial Facebook dan mendapat kecaman netizen berikutan tindakan pemandu kereta Myvi itu yang cuai biarpun jelas kelihatan lampu mata arah dipasangkan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 3:06 PM