GOBIND (kanan) menunjukkan risalah berkaitan insentif kerajaan yang diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Seremban. FOTO MOHD AMIN JALIL
GOBIND (kanan) menunjukkan risalah berkaitan insentif kerajaan yang diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Seremban. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


“ITU terserah kepada pihak berkuasa berkaitan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo.

Beliau mengulas mengenai gesaan pihak tertentu supaya akaun laman sosial milik usahawan sensasi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disekat atau ditutup.

Langkah itu bertujuan mengelak pelbagai polemik tidak sihat sama ada bagi pihak empunya diri atau pihak lain berhubung tindakan usahawan berkenaan bertelekung sewaktu mengerjakan umrah di Makkah, baru-baru ini.

Gobind berkata, kedua-dua agensi dan pihak berkuasa terbabit mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perkara ini (isu Sajat) sudah dibangkitkan semalam dan ia di bawah bidang kuasa mereka (SKMM dan polis) kerana mereka adalah badan penguatkuasaan.

“Bagi kami, (KKMM) ialah hormati semua badan agensi penguatkuasaan termasuk SKMM kerana ia adalah badan pengawal dan ada undang-undang ditetapkan.

“Biar agensi berkenaan buat keputusan dan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu kerana mereka yang menerima laporan dan tahu status mengenainya, tambahan pula perkara itu adalah di bawah bidang kuasa agensi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah mengenai pelbagai insentif disediakan kerajaan untuk kepentingan rakyat di Pasar Besar Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.

Terdahulu, Gobind mengedarkan risalah mengenai insentif kerajaan antaranya penurunan 18 peratus kadar tol di lebuh raya bermula 1 Februari lalu dan skim e-tunai.

Selain itu, beliau memberikan penerangan mengenai pelbagai langkah perlu dilakukan orang ramai dalam usaha menyekat penularan wabak koronavirus baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 4:57 PM