LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


PEMANDU kereta yang melanggar kereta peronda polis di Kilometer 16.4, Lebuhraya Grand Sepadu, menghala ke Tol Bukit Raja, Shah Alam, direman dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, kereta peronda polis dan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat Grand Sepadu.

“Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dipandu laju dan melanggar kereta peronda polis yang membuat kawalan terhadap kenderaan Land Rover rosak.

“Hasil ujian pernafasan pada pemandu kereta berusia 25 tahun itu menunjukkan kandungan alkohol di bawah had ditetapkan dan saringan awal ujian air kencing adalah negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook satu video pemandu Perodua Myvi melanggar kereta peronda polis yang sedang memberi bantuan kepada Land Rover Balai Polis Seksyen 6 yang mengalami kerosakan.

Rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu memandu dalam keadaan berbahaya.

Berita berkaitan

'Dah mabuk ke langgar polis?'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:51 PM