Anggota PKPKT memeriksa premis dan gerai di kawasan medan selera sekitar pusat bandar dekat Tawau malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Anggota PKPKT memeriksa premis dan gerai di kawasan medan selera sekitar pusat bandar dekat Tawau malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


BERKUKU panjang, memakai cincin dan gelang tangan antara kesalahan yang dikesan menerusi Ops Bersih dijalankan Pejabat Kesihatan Persekitaran Kawasan Tawau (PKPKT) di beberapa kawasan medan selera di pusat bandar dekat Tawau, malam tadi.

Pegawai (PKPKT) Rahman Sampe berkata, sebanyak 28 premis diperiksa dalam operasi bermula jam 7 petang hingga 11.45 malam.

Menurutnya, sebanyak 25 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mengikut Seksyen 32b iaitu kesalahan di bawah peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009.

“Masih terdapat segelintir peniaga dan pengendali makanan yang mengabaikan aspek kebersihan diri termasuk ada yang berkuku panjang dan memakai aksesori selain tidak mematuhi aspek berhubung tatacara berpakaian ketika mengendalikan makanan.

“Ada juga pemilik gerai makan menggaji pekerja yang tidak mendapat suntikan vaksin tifoid, tiada sijil pengendali makanan dan tidak mendaftarkan premis makanan mereka,” katanya ketika ditemui di Tawau, malam tadi.

Rahman berkata, terdapat segelintir peniaga yang masih berdegil dan melakukan kesalahan berulang termasuk kesalahan mengikut peraturan-peraturan kawalan hasil tembakau selain gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Kami memandang serius semua kesalahan ini dan menggesa supaya pemilik premis atau pengendali makanan supaya menitikberatkan aspek kebersihan diri dan pemakaian bagi memastikan pengguna mendapat makanan berkualiti dan bersih.

“Tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya mereka masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dan melakukan perkara sama selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 10:16 AM