Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki ‘menyembunyikan’ 1,536 paket gula bernilai RM4,377.60 dalam kedai runcit miliknya di Sungai Besi, Kuala Lumpur mengundang padah apabila barang kawalan itu dirampas dalam serbuan, kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsuddin berkata, serbuan dilakukan kira-kira 10 pagi itu adalah hasil aduan awam yang mendapati premis runcit berkenaan dipercayai menyimpan bekalan gula melebihi had simpanan ditetapkan bagi lesen runcit.

“Berdasarkan keterangan pemilik premis itu berusia 30-an, dia memberi alasan menyimpan banyak bekalan gula sempena musim perayaan dan untuk dibekalkan ke premis berhampiran.

“Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada sidang media di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur, hari ini.

ARIFFIN (tengah) menunjukkan bekalan gula yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ARIFFIN (tengah) menunjukkan bekalan gula yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Beliau berkata, peruncit atau pemborong diingatkan supaya mematuhi syarat lesen ditetapkan dan tidak melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan tegas.

“Pada tahun lalu, KPDNHEP Kuala Lumpur merekodkan 13 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM50,287, manakala tahun ini pula, sudah tiga operasi dilakukan.

“Pemeriksaan secara rawak juga dilakukan secara konsisten di premis runcit dan pemborong sekitar ibu kota ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 1:45 PM