TARIAN singan di dalam perkarangan surau Taman Pengkalan Utama, Ipoh. FOTO ihsan pembaca
TARIAN singan di dalam perkarangan surau Taman Pengkalan Utama, Ipoh. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) memberi amaran kepada pengurusan surau di Taman Pengkalan Utama, Ipoh berhubung tindakan menyentuh sensitiviti penduduk Islam ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ini kerana jawatankuasa surau berkenaan didapati melanggar arahan JAIPk apabila membenarkan aktiviti bercanggah pada 1 Februari lalu.

Menurutnya, siasatan dibuat berpandu kepada maklumat yang tular di media sosial selain pengakuan pengurusan surau berkenaan.

“Mereka mengesahkan acara diisi dengan tarian singa dan membakar mercun di perkarangan surau sekali gus mencetuskan reaksi negatif dan kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Ucapan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai tetamu kehormat dengan hasrat mendapatkan dana penambahbaikan surau juga dilihat sebagai perbuatan bercanggah dengan arahan JAIPk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya tiada halangan, malah menyokong penganjuran program bagi menyuburkan suasana muhibah antara agama dan kaum untuk mengubah persepsi negatif orang bukan Islam terhadap Islam.

“Bagaimanapun, sebarang bentuk acara yang berlangsung dalam kawasan masjid atau surau wajib menghormati perasaan sensitif umat Islam dan orang Melayu.

“Selain hendaklah tidak bercanggah dengan tatasusila adab Melayu yang menghormati tempat ibadah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima permohonan maaf melalui surat yang dihantar oleh pengerusi jawatankuasa surau terbabit yang mengakui kesilapan dan kekhilafan mereka pada 5 Februari lalu.

“Isu ini menjadi tular kerana hanya 20 peratus daripada 3,205 penduduk di kawasan perumahan terbabit adalah masyarakat Islam, manakala 80 peratus bukan Islam.

“Bagaimanapun, laporan lengkap kejadian akan dibentangkan oleh JAIPk dalam persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan datang,” katanya.

Katanya, JAIPk memberi peringatan kepada masjid dan surau di negeri untuk tidak membenarkan untuk digunakan bagi aktiviti bermotif politik yang berunsur mendapatkan pengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:42 PM