SPRM membawa suspek di Mahkamah. FOTO NSTP
SPRM membawa suspek di Mahkamah. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


SEMBILAN anggota Unit Tindakan Marin (Ungerin) Pasukan Polis Marin (PPM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dibebaskan Rabu lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro, semua mereka termasuk pegawai berpangkat asisten superintendan (ASP) dijangka dihadapkan ke Mahkamah Kuantan, dua minggu lagi.

“Mereka dibebaskan. Kami tuduh mereka dua minggu lagi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kejayaan terbesar PPM Bukit Aman pada Jun tahun lalu selepas menumpaskan sindiket penyeludupan rokok murah dan arak bernilai RM4.868 juta tercemar dengan penahanan sembilan anggota Ungerin oleh SPRM Pahang pada 29 Januari.

Pegawai berpangkat ASP dan lapan anggota berpangkat sarjan serta koperal itu ditahan SPRM di Pangkalan PPM Port Klang.

Dalam rampasan dianggap terbesar pada 19 Jun tahun lalu itu, Ungerin Bukit Aman yang mendapat maklumat melakukan serbuan terhadap sindiket terbabit yang dalam perjalanan menghantar barang seludup itu menggunakan tiga lori di Jalan Leban Chondong menghala ke Muadzam Shah, Pahang kira-kira jam 2 pagi.

Hasil serbuan itu, 279,000 karton rokok murah dianggarkan bernilai RM4.8 juta dirampas dan tiga lelaki iaitu pemandu lori terbabit ditahan.

Pegawai dan anggota terbabit kemudian meminta wang rasuah RM500,000 daripada pemilik barangan seludup serta pemandu lori berkenaan.

Namun, pemilik terbabit gagal memberikan wang yang diminta menyebabkan mereka menyita barang rampasan, tiga lori tiga dan lima tan selain menahan tiga suspek berusia 20-an ke 50-an.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:10 AM