DR Lee Boon Chye. FOTO Arkib NSTP.
DR Lee Boon Chye. FOTO Arkib NSTP.
Balqis Jazimah Zahari


ORANG ramai disaran bersalaman dengan ‘cara Malaysia’ iaitu meletakkan tangan di dada sebagai langkah mengurangkan penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye berkata, langkah itu dicadangkan bagi mengelakkan orang ramai bersalaman secara bersentuhan.

Beliau berkata, ia antara langkah pencegahan yang perlu perlu diamalkan ketika ini selain daripada kerap mencuci tangan.

“Apabila pesakit batuk, virus yang keluar (mungkin berada) di atas meja, lif dan sebagainya boleh bertahan beberapa jam dan apabila menyentuh kawasan berkenaan ada kemungkinan mendapat jangkitan penyakit.

“Jadi, kita kena kerap basuh tangan, guna pencuci tangan (hand sanitizer) dan mengelak menyentuh muka dengan tangan.

“Selain itu, saya mencadangkan kalau boleh kurangkan bersalaman secara ‘shake hand’, tetapi ‘salam cara Malaysia’ iaitu meletakkan tangan di dada,” katanya ketika ditemui ketika melawat perayaan Thaipusam di Kuil Gunung Cheroh, Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Lee menegaskan jangkitan koronavirus bukan melalui udara.

“Jadi, bila bertemu di program Thaipusam ini, kalau pesakit itu sakit tetapi tiada batuk dan bersin maka penyakit tidak berjangkit kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, beliau berharap kluster jangkitan dalam komuniti di Singapura terkawal.

“Jika tidak, ini bermakna risiko untuk Malaysia ada jangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Kita percaya Singapura boleh mengawal kluster itu, jadi kita menghalang rakyat negara ini mengunjungi negara itu secara drastik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 2:00 PM
    Digital NSTP Subscribe