JIRAN Nor Ain membantu mengangkat barangan yang terselamat. FOTO MOHD AMIN JALIL.
JIRAN Nor Ain membantu mengangkat barangan yang terselamat. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


“PADA mulanya saya nampak cahaya di luar pintu utama rumah dan sebaik membukanya, saya lihat api mula merebak di kawasan akuarium,” kata Nor Ain Mohd Yasir.

Nor Ain, 32, mengalami kerugian lebih RM250,000 selepas rumah dua tingkat miliknya terbakar di Taman Bandar Seremban Selatan, Senawang, Seremban, 6.15 petang semalam.

Kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Raden, Port Dickson itu berkata, sebaik balik dari kerja pada 6 petang, dia berehat di ruang tamu bersama tiga anaknya berusia dua, tiga dan lima tahun sambil menonton televisyen.

“Ketika itu terlihat cahaya di luar pintu utama dan mendapati terdapat api berhampiran kawasan akuarium di tempat letak kereta.

“Kami empat beranak terus keluar dari rumah menerusi pintu belakang dan memberitahu jiran yang kemudiannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api cepat marak, malah dua kereta iaitu Proton Perdana dan Proton Satria serta lima motosikal diletakkan di kawasan parkir turut hangus,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Nor Ain berkata, ketika kejadian suaminya tiada di rumah kerana bekerja di Taman Tuanku Jaafar, Senawang dan pulang 15 minit selepas kebakaran.

NOR Ain Mohd Yasir di hadapan rumahnya yang hangus 70 peratus dalam kebakaran petang semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL.
NOR Ain Mohd Yasir di hadapan rumahnya yang hangus 70 peratus dalam kebakaran petang semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL.

Dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada litar pintas selepas mendapati api datang daripada punca kuasa yang menempatkan akuarium di kawasan tempat letak kereta.

“Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu.

“Kami belum dapat membuat keputusan untuk menetap sementara dan ketika ini saya dan keluarga menumpang teduh bersama emak mentua di Kampung Jimah Baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi BBP Senawang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Amir Abu Kasim, berkata masing-masing satu jentera dari BBP Senawang dan BBP Seremban 2 terbabit dalam operasi berkenaan.

“Seramai 15 anggota dari kedua-dua balai membantu memadamkan kebakaran dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh 40 minit.

“Kerosakan kediaman kira-kira 70 peratus dan punca kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 3:29 PM