Nor Fazlina Abdul Rahim


LIMA lelaki termasuk tiga beradik dan seorang guru besar didakwa di Mahkamah Majistret Machang, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada 27 Januari lalu.

Kesemua tertuduh ialah Mohd Azam Seman, 23 dan dua abangnya, Muhamad Zarudin, 27 serta Mohd Rizal, 37; Che Muhammad Sayusi Che Musa, 29; dan Mohd Rozi Mohd Nawi, 51.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amar Razim Alias.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas, Abdul Rahim Abdul Wahab, 56, membunuh seorang lelaki bernama Kamsani Mohamed.

Kejadian berlaku di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, pada 27 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamin Aripin dan Ahmad Adha Amir Yasser.

Kesemua tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, pada prosiding berlainan, 10 lelaki dituduh atas kesalahan merusuh dan bergaduh dalam kejadian sama pada 27 Januari lalu.

Tertuduh, Ahmad Husaini Haron, 24; Wan Muhammad Hafizi Wan Hussin, 29; Mohd Faizal Salleh, 40; Muhamad Akmal Syahmi Ab Arif, 27; Mohd Shafuan Asri, 31; Raja Mohd Azmi Raja Hussin, 37; Abdullah Amiruddin Amir, 29; Norhisan Mohd Rosidi, 43; Nik Mohamad Fazli Nik Mahmud, 29 dan Ahmad Shubly Shaari, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama 10 orang masih bebas sebagai ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, didapati menggunakan kekerasan atau keganasan iaitu merusuh dan bergaduh.

Kejadian berlaku di lokasi, masa dan tarikh yang sama .

Pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 2:57 PM
SUSPEK ketika keluar daripada mahkamah. FOTO SYAMSI SUHAIMI
SUSPEK ketika keluar daripada mahkamah. FOTO SYAMSI SUHAIMI