Nor Fazlina Abdul Rahim

POLIS tidak menolak kemungkinan kediaman pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diserang dengan bom petrol atau molotov cocktail di Kampung Perupok, Tumpat hari ini ada kaitan dengan rampasan ketum.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Memandangkan mangsa adalah pegawai JKDM, kita tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku ada kaitan dengan tugasannya.

“Kes rampasan ketum di Pasir Mas baru-baru ini yang dilakukan mangsa juga akan disiasat.

“Dalam kejadian awal pagi tadi, abang ipar mangsa yang berada di rumah menyedari bunyi letupan sebelum melihat kereta sudah terbakar.

“Mangsa terus menghubungi bomba untuk bantuan dan pada masa sama, ada penduduk yang melihat dua lelaki bermotosikal dalam keadaan kelam kabut.

“Kejadian ini mungkin dilakukan penunggang motosikal berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pemeriksaan pihaknya menemui pemetik api dan botol berbau petrol dan pihaknya sudah menyerahkan kepada bomba untuk siasatan lanjut.

Katanya, mangsa kerugian RM150,000 dalam kejadian itu berikutan 90 peratus garaj kereta terbakar dan dua kenderaannya iaitu Mitsubishi Triton dan Toyota Yaris turut musnah.

Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, kediaman pegawai JKDM diserang dengan dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali, dipercayai angkara khianat.

Mangsa yang bertugas di Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu tiada di rumah ketika kejadian.

Berita berkaitan

Terbakar angkara khianat?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 12:33 PM
Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Abdul Rashid Daud memeriksa kediaman pegawai JDKM yang terbakar dibaling bom petrol di Kampung Perupok, Tumpat hari ini. Foto Nor Fazlina Abdul Rahim
Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Abdul Rashid Daud memeriksa kediaman pegawai JDKM yang terbakar dibaling bom petrol di Kampung Perupok, Tumpat hari ini. Foto Nor Fazlina Abdul Rahim
Digital NSTP Subscribe