Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Roji Kawi


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengarahkan individu yang pernah berkunjung ke Singapura dalam tempoh 14 hari lalu supaya menjalani kuarantin di rumah sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan itu berkuat kuasa hari ini selepas Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) Singapura mengeluarkan amaran tahap jingga berhubung penyebaran wabak koronavirus baharu.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN berkata, wabak itu dikesan berlaku di gereja, farmasi dan hotel selepas satu persidangan antarabangsa di Singapura.

“Inilah yang membimbangkan kita, ketika ini sebanyak 43 kes disahkan di Singapura dan mangsa yang dijangkiti di Singapura itu adalah pemandu pengangkutan awam, pemandu pelancong dan guru.

“Mereka tidak pernah berkunjung ke China tetapi dikenal pasti mendapat jangkitan di gereja, farmasi dan hotel di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN berhubung langkah pencegahan wabak koronavirus di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Menurutnya, walaupun Sarawak masih bebas daripada wabak berkenaan, langkah ketat perlu diambil termasuk memantau mereka yang pernah ke Singapura dan mewajibkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Mengenai perkembangan terkini di Sarawak, katanya, sejak 10 Januari hingga semalam, sebanyak 60 kes pengesanan kes yYang disyaki (PUI) direkodkan.

“Sebanyak 43 kes disahkan negatif dan 17 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 5:00 PM