ROSMAH hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak mencatatkan ‘bersetuju’ untuk mengecualikan penyerahan dokumen tertentu bagi kelulusan bayaran interim kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Najib membuat catatan minit pada muka surat pertama surat bertarikh 19 Julai 2017 yang dihantar olehnya (Mahdzir) kepada Najib.

Katanya, surat kepada Najib itu bagi memohon kelulusan Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu, untuk mengecualikan dokumen tertentu supaya Kementerian Pendidikan boleh membayar tuntutan interim kepada Jepak untuk kerja genset diesel yang dilaksanakan syarikat itu sejak Januari 2017.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, minit oleh Najib itu ditujukan kepada Datuk Othman Semail, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan.

“Minit itu menyatakan; ‘Bersetuju diberikan pengecualian khas seperti dipohon. Sila uruskan.’ Datuk Seri Najib turut menandatangani minit itu. Selepas itu saya serahkan surat kepada Datuk Seri Alias untuk tindakan seterusnya,” katanya pada hari ketiga perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Rosmah berhubung projek solar hibrid itu.

Mahdzir berkata, beliau dimaklumkan oleh Alias secara lisan antaranya Kementerian Kewangan memaklumkan, Kementerian Pendidikan bertanggungjawab menguruskan pembayaran tuntutan interim Jepak sebanyak RM92 juta bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang kerana Surat Setuju Terima (SST) dan kontrak rasmi berhubung projek solar hibrid itu sudah ditandatangani dan pembayaran perlu dibuat dalam tempoh 24 jam tetapi Kementerian Pendidikan perlu memastikan prosedur kewangan dipatuhi.

Saksi itu berkata, beliau ada menerima maklumat daripada pegawai kewangan di Kementerian Pendidikan bahawa mereka didesak oleh pihak Jepak untuk menyegerakan pembayaran interim itu.

Katanya, pada masa itu juga ada masalah untuk membuat pembayaran kerana Jepak tidak memberi dokumen sokongan yang lengkap.

Menceritakan mengenai permohonan bayaran interim itu, Mahdzir dalam penyataan saksinya berkata, pada Julai 2017, Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak berjumpa dengannya di pejabatnya (Mahdzir) dan memberitahu Jepak menghadapi masalah mendapatkan tuntutan interim untuk kerja genset diesel yang dilaksanakan sejak Januari 2017.

Beliau berkata, Saidi memberitahunya bahawa Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan enggan memproses bayaran tuntutan interim kerana masalah dokumen tidak lengkap ekoran ketidakpatuhan prosedur rundingan harga.

“Saya tidak dapat membantu Saidi dan minta beliau menuruti prosedur kewangan ditetapkan dan berbincang dengan Kementerian Kewangan. Saidi sudah merendahkan saya sebagai Menteri Pendidikan dan kawan lama beliau kerana tidak dapat membantunya.

“Kemudian, Saidi mendesak saya untuk membantunya dan memberitahu saya, beliau akan mengadu kepada Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah dan Datuk Rizal Mansor,” katanya.

Beliau berkata, selepas dua atau tiga hari, Rizal berjumpanya di Putrajaya dan memintanya membantu Jepak mendapatkan bayaran.

“Saya beritahu Datuk Rizal bahawa prosedur mendapatkan bayaran perlu melalui Kementerian Kewangan dan beliau sudah minta saya untuk membuat surat memohon pengecualian daripada Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan.

“Atas permintaan Datuk Rizal saya mengarahkan pegawai di Kementerian Pendidikan untuk menyediakan surat permohonan kepada Datuk Seri Najib. Surat itu memohon kelulusan Datuk Seri Najib untuk mengecualikan dokumen-dokumen tertentu supaya Kementerian Pendidikan boleh membayar tuntutan interim kepada Jepak,” katanya.

Mahdzir, 59, berkata, surat disediakan pegawainya itu memohon pengecualian khas daripada Najib untuk mengecualikan dokumen yang tidak lengkap seperti dokumen kelulusan projek oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, surat itu beliau serahkan sendiri kepada Najib selepas selesai mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2017 dan memberitahunya (Najib) surat itu berkaitan Jepak yang mempunyai masalah untuk proses bayaran.

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib memberikan pengecualian khas tatacara kewangan bagi membolehkan bayaran dibuat kepada Jepak. Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian itu,” katanya.

Mahdzir berkata setahunya, Kementerian Pendidikan ada membuat bayaran tuntutan interim kepada Jepak pada 2017.

Rosmah, 68, didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

  • Lanjut tahanan reman [METROTV]

  • Bekas pegawai khas Najib dibebaskan

  • Bekas Menteri dipanggil SPRM

  • Najib ke SPRM lagi [METROTV]

  • Rosmah didakwa lagi..?

  • Rosmah tiba di SPRM

  • Rosmah, Rizal mengaku tak bersalah

  • [UPDATE] Didakwa minta sogokan RM187.5 juta [METROTV]

  • Tak mengaku terima sogokan bagi pihak Rosmah [METROTV]

  • Mahdzir beri keterangan kepada SPRM

  • Rosmah lantik peguam baharu

  • Serah dokumen 300 halaman

  • 'Terdapat cubaan percepat pendakwaan' - Rosmah

  • Rosmah didakwa terima rasuah RM5 juta [METROTV]

  • 'Saya maafkan...' - Rosmah

  • Rosmah tak mengaku salah atas pertuduhan pindaan

  • Kes rasuah Rosmah pindah Mahkamah Tinggi

  • Rosmah kekal pengakuan tidak bersalah

  • Rizal Mansor lepas, bebas

  • Rosmah boleh pengaruhi keputusan kerajaan: Pendakwa [METROTV]

  • Pendakwa akan buktikan Rosmah terima RM6.5 juta

  • Lokasi penyerahan wang ditunjukkan

  • Bawa 2 beg galas berisi wang - Saksi [METROTV]

  • Najib diminta meninggalkan mahkamah

  • 'Saya terima surat daripada Najib' - Mahdzir

  • Lelaki bersenjata iringi serah bagasi

  • Rosmah arah saya cepatkan kelulusan projek- Mahdzir

  • Saya tak ragu Rosmah terlibat- Mahdzir

  • Najib catat 'bersetuju'

  • Rakaman audio dimainkan pada perbicaraan kes Rosmah

  • 'Mem' sudah tahu...

  • 'Saya hanya ikut arahan PM'

  • Rosmah minta cepatkan kelulusan Projek Solar

  • Mahdzir mengadu terima tekanan daripada Najib

  • Rebut kontrak solar hibrid

  • 'Sistem solar hibrid tak sesuai digunakan di kawasan terpencil'

  • Wang RM5 juta untuk 'RM'

  • Najib putuskan kelulusan permohonan - saksi

  • 'Nak bagi barang kepada mem'

  • Projek Solar: Jepak kemuka perincian

  • Rizal diletak di bawah program perlindungan saksi
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:13 PM