Achey Bocey.
Achey Bocey.
Suraya Roslan


BUKAN seorang, tetapi ramai yang menerima sumbangan daripada arwah Abam.

Pendedahan itu diberikan rakan rapat kepada arwah Abam, Achey yang mengetahui sifat mulia rakannya itu yang kerap bersedekah dan membantu orang memerlukan.

Achey mengulas mengenai tular di media sosial mengenai kedatangan dua beranak ke pusara Abam selepas selesai bacaan talkin yang kemudian mendedahkan arwah menampung segala perbelanjaan sekolah anak-anaknya selama ini.

Achey berkata, arwah Abam pernah bercerita mengenai apa yang dilakukan termasuk sedekah kepada dua rumah anak yatim di Gombak setiap kali menerima imbuhan gajinya.

“Banyak wang hasil pertandingan mahupun gajinya, dia akan berikan kepada ibu serta adik beradiknya manakala selebihnya digunakan untuk membantu mereka memerlukan.

“Rezeki dia dapat sama ada sikit atau banyak akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Jadi saya tidak hairan mungkin wanita berkenaan salah seorang penerima sedekah arwah Abam,” katanya kepada Harian Metro.

Achey berkata, dia mahupun Fad tidak pernah mengenali individu dibantu arwah tetapi mengetahui tentangnya.

“Hanya arwah dan individu berkenaan saja mengetahuinya, kami rakan rapat arwah pun tidak tahu siapa yang menerima sumbangan berkenaan.

“Semoga kebaikan Abam ini menjadi ikutan dan contoh kepada rakan artis lain serta masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:07 PM