FOTO IHSAN PEMBACA
FOTO IHSAN PEMBACA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG wanita maut manakala suaminya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada jam 9.30 pagi itu, mangsa Norliza Samsuri, 44 yang membonceng motosikal bersama suaminya dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha dinaiki pasangan berkenaan bergesel dengan sebuah pacuan empat roda.

“Ketika kejadian, pacuan empat roda berkenaan berada di lorong tengah sebelum berhenti akibat kesesakan jalan raya.

“Mangsa yang tidak sempat mengelak bergesel di bahagian sisi kanan belakang pacuan empat roda berkenaan sebelum terjatuh,” katanya.

Zulkefly berkata, sebuah lagi motosikal yang mengekori mangsa turut terjatuh dan penunggang motosikal berkenaan mengalami cedera ringan.

“Pasangan suami isteri berkenaan tercampak ke atas jalan. Pembonceng motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang maut turut dihantar ke HKL untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:41 PM