HUJAN meteor di kawasan Taman Johor Jaya. FOTO ihsan Facebook
HUJAN meteor di kawasan Taman Johor Jaya. FOTO ihsan Facebook
Mohamed Farid Noh


TULAR video hujan meteor di media sosial sejak tengah hari ini yang didakwa berlaku di kawasan Taman Johor Jaya di sini, awal pagi tadi.

Rakaman berdurasi 22 saat itu menunjukkan cahaya terang yang didakwa hujan meteor melintasi ruang udara yang dirakam secara tidak sengaja kamera papan pemuka (dashboard) seorang pengguna jalan raya kira-kira jam 5 pagi tadi.

Video yang dimuat naik di Facebook oleh sebuah portal itu mendapat perhatian warganet namun kesahihannya dapat dipastikan sehingga kini kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

Planetarium Negara sebelum ini dilaporkan berkata, hujan meteor atau dikenali sebagai quadrantids adalah fenomena astronomi yang biasa dan tidak membahayakan manusia.

Fenomena itu biasanya dilaporkan aktif pada akhir Disember hingga minggu kedua bulan Januari serta mencapai kemuncaknya pada 4 dan 5 Januari lalu.

Ketika kemuncak fenomena itu, orang ramai berpeluang melihat 120 meteor atau tahi bintang kelihatan menuju keluar daripada pusatnya di kawasan kumpulan bintang Quadrans Muralis atau Bootes dalam masa satu jam.

120 meteor sejam bersamaan dengan dua meteor seminit atau satu meteor dalam masa 30 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:23 PM