Redzuan Muharam


SIRI jelajah skuad Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 meriah dengan kehadiran lebih 500 warga kampus Sunway Universiti, Petaling Jaya, di sini yang menjadi lokasi pertama program berkenaan.

Program itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya permainan roda impian, simulator F1 dan peraduan swafoto yang menawarkan hadiah istimewa untuk pengunjung mengambil bahagian.

Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, Norhayati Abd Manaf berkata, penganjurannya bersempena dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertama (SOM1) dan membabitkan enam lokasi iaitu Sunway University dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada hari ini, Tamarind Square, Cyberjaya dan Dataran Putra, Putrajaya (15 Februari) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 19 Februari ini.

Aktiviti roadshow Pramedia Asia Pacific Economic Cooperation. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Aktiviti roadshow Pramedia Asia Pacific Economic Cooperation. FOTO AMIRUDIN SAHIB.

Beliau berkata, penyediaan kenderaan saji yang terdiri daripada pemain industri kecil dan sederhana (IKS) bersesuaian dengan tema APEC untuk merealisasikan kemakmuran bersama.

Katanya, matlamat program adalah memberi pendedahan mengenai APEC 2020 khususnya kepada golongan belia.

APEC turut disokong lima rakan rasmi Celcom, MAS, Proton, Perodua dan Grab.

"Program ini diadakan di kawasan kampus dan sekitarnya untuk menyampaikan mesej kepada golongan muda yang menjadi sasaran utama.

"Pelbagai aktiviti diatur sebagai pengisian program yang bukan hanya membolehkan pengunjung bermain permainan dan memenangi hadiah tetapi juga menikmati makanan daripada pengusaha kenderaan saji yang turut mengambil bahagian.

"Kita mengharapkan sambutan baik terhadap program ini dengan sasaran kehadiran 300 hingga 500 pengunjung di setiap lokasi," katanya.

FOTO AMIRUDIN SAHIB.
FOTO AMIRUDIN SAHIB.

Pengusaha kenderaan saji, Ema Shahira Hussain, 32, ketika ditemui gembira kerana diundang untuk turut serta dalam program berkenaan.

"Saya aktif sebagai pengusaha kenderaan saji sejak tiga tahun lalu dan menyertai pelbagai acara sepanjang tempoh itu.

"Jadi, sudah tentu saya gembira apabila dipelawa turut serta dalam program ini kerana ia peluang keemasan untuk mempromosikan makanan yang ada sushi, pasta dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui di Sunway University, di sini, hari ini.

Penuntut jurusan Perakaunan dan Kewangan, Shawn Zechariah James, 21, berkata dia teruja menyertai aktiviti diadakan sempena program Skuad APEC 2020.

"Satu yang baik oleh penganjur kerana memilih kampus ini sebagai lokasi program kerana memberi pendedahan kepada penuntut mengenai APEC 2020.

"Menerusi program ini, kampus jadi lebih meriah dengan adanya pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung," katanya.

FOTO AMIRUDIN SAHIB.
FOTO AMIRUDIN SAHIB.

Seorang lagi penuntut, Ezahrah Mohideen, 21, turut menyambut baik penganjuran program berkenaan kerana memberi peluang kepada warga kampus tahu mengenai APEC 2020.

"Satu program yang baik kerana memberi peluang kepada penuntut mengambil bahagian dalam aktiviti diadakan.

"Diharap, ia bukan yang pertama dan terakhir kerana sebagai penuntut, kami mahu lebih banyak aktiviti seperti ini diadakan di dalam kampus," katanya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains, Taman dan Rekreasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Iqram Sabri, 21, menyambut baik penganjuran Skuad APEC 2020 kerana mahu mengetahui lebih lanjut mengenai APEC.

"Jujurnya, saya tidak tahu mengenai APEC tetapi penganjuran program ini memberi peluang kepada saya dan rakan yang lain untuk mendapat informasi yang tepat.

"Memang seronok kerana program ini diadakan secara santai dan sarat dengan aktiviti yang tidak membosankan," katanya.

FOTO AMIRUDIN SAHIB.
FOTO AMIRUDIN SAHIB.

Seorang lagi penuntut, Muhamad Hafizuddin Mohd Noor, 21, berkata dia hadir ke Skuad APEC 2020 kerana berminat mendapat informasi mengenai APEC.

"Pelbagai program diadakan di kampus sebelum ini dan menariknya Skuad APEC 2020 kerana di samping menyertai aktiviti diadakan, kita juga mendapat maklumat berkaitan persidangan berkenaan.

"Bukan selalu ada peluang sebegini dan berharap akan ada lagi program sebegini pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:44 PM
Digital NSTP Subscribe