DR AMAN Rabu. FOTO Arkib NSTP
DR AMAN Rabu. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan mengarahkan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di Johor Bahru menutup sebuah kelas dan melarang murid mendekati kelas itu berikutan ibu bapa seorang murid disahkan dijangkiti wabak Covid-19.

Pengarahnya, Dr Aman Rabu berkata, pihak sekolah mendapat maklumat dari sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan pencegahan jangkitan sendiri.

Katanya, JKNJ tidak pernah mengarah mana-mana sekolah untuk menjalankan apa-apa tindakan penutupan sekolah mahu pun menghalang murid daripada menghadiri kelas.

“Bagaimanapun, JKNJ mengesahkan sekolah terbabit adalah sekolah di mana seorang kanak-kanak menjadi kontak kepada kes Covid-19 yang dirawat di Singapura, Isnin lalu.

“JKNJ menjalankan pengesanan kontak kes Covid-19 itu termasuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes.

“Terdapat tiga kontak rapat dikenal pasti iaitu isteri dan dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun.

“Hasil siasatan ke atas kedua kanak-kanak terbabit mendapati mereka negatif jangkitan wabak Covid-19 dan mereka masih diasingkan di hospital, manakala status isteri kes berkenaan masih dalam siasatan hospital berkenaan, ” katanya dalam kenyataan

Semalam, tular di media sosial mengenai sebuah sekolah SKJC mengambil tindakan menutup kelas dan melarang semua murid mendekati kelas itu susulan ibu bapa seorang murid di sekolah itu dilaporkan disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:33 AM
    Digital NSTP Subscribe