STADIUM Darul Makmur. FOTO Arkib NSTP.
STADIUM Darul Makmur. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

PENGURUSAN Stadium Darul Makmur belum memperoleh sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) untuk gelanggang rasmi skuad Tok Gajah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pengurusan stadium dan menawarkan bantuan untuk mereka memperoleh sijil itu.

“Pada perbincangan yang berlangsung akhir tahun lalu, pengurusan stadium bersetuju untuk meningkatkan sistem kebakaran yang perlu ada, selaras dengan permintaan JBPM bagi memperoleh sijil itu.

“Kita sedia membantu dari segi teknikal apa sahaja keperluan yang perlu dipatuhi mereka, dalam mendapatkan CCC kerana ia membabitkan aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM Pahang di Kuantan, hari ini.

Mohd Zahar berkata, walaupun risiko kebakaran di stadium dilihat tidak begitu tinggi ekoran pembinaan yang terbuka dan mempunyai banyak laluan keluar, namun aspek keselamatan kebakaran adalah aspek yang wajib dipatuhi dalam CCC.

Media sebelum ini melaporkan Stadium Darul Makmur yang dibina pada 1973 satu daripada 13 stadium utama di Malaysia, yang tidak mempunyai sijil itu, sekali gus berisiko mengundang kejadian tidak diingini.

Pada September tahun lalu, kerajaan Pahang mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada perbadanan pengurusan stadium bagi kerja penambahbaikan ciri keselamatan, sebelum memohon sijil CCC.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zahar berkata, JBPM Pahang akan menggembleng lebih banyak kekuatan aset dan anggota, untuk memadam kebakaran terbuka yang sering berlaku pada musim kemarau setiap tahun.

“Kita tidak mahu kebakaran terbuka itu berlanjutan terlalu lama untuk dipadamkan sepenuhnya, menyebabkan operasi bukan hanya di daerah terbabit, namun dibantu jentera daerah berhampiran,” katanya.

Mohd Zahar berkata, berdasarkan statistik, kebakaran belukar atau lalang meningkat pada tahun lalu, iaitu sebanyak 1,291 kes berbanding 764 kes pada 2018.

Peningkatan suhu panas akibat fenomena ekuinoks pada Mac hingga September tahun lalu, didapati menjadi punca peningkatan kes kebakaran terbuka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 3:19 PM
Digital NSTP Subscribe