GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu lagi kes baharu Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) yang dilaporkan dikesan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak 19 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-19 membabitkan seorang wanita warganegara China berumur 39 tahun yang juga rakan kepada pesakit kes-14 dan anak kepada kes-16.

Menurutnya, dua mangsa sebelum ini sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mangsa terbaru bersama-sama empat individu yang lain tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari 2020.

“Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (iaitu kes-14 dan kes-16) pada 5 Februari dan 7 Februari 2020, wanita terbabit turut diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan,” katanya.

Menurutnya, hasil aktiviti pemantauan yang dijalankan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati mangsa terbaru itu mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari 2020.

“Wanita itu kemudian dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya. “Ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya dilaporkan positif pada hari yang sama. Dia kini dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sembilan kes dicatatkan membabitkan kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat manakala

dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui Misi Bantuan Kemanusiaan baru-baru ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 13 kes membabitkan warganegara China dan enam adalah warga Malaysia.

“Bagi kontak rapat, seramai 223 individu sudah dikenalpasti. Sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan lagi bagi mengenalpasti kontak rapat kepada kes,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga sudah menggerakkan Pasukan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sejak 6 Februari 2020 susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China.

“Pasukan ini memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada individu-individu yang diletakkan di bawah Perintah Pemantauan, kepada Petugas KKM dan agensi-agensi lain yang turut sama terbabit.

“Aktiviti termasuk sesi bantuan asas psikologi (psychological first aid) kelompok dan individu, serta kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu.

“Buat masa ini, terdapat dua kes dirujuk untuk menerima rawatan lanjut kerana stres akut dan keresahan. Mereka diberikan ubatan dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, PFA juga turut diberikan kepada anggota kesihatan yang bertugas di lapangan meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital-hospital dikenal pasti.

“Sehubungan itu, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 4:53 PM
    Digital NSTP Subscribe