X
Syaherah Mustafa

PENDUDUK di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang sentiasa berwaspada dan bersiap sedia jika banjir melanda, susulan air sungai berkenaan berada pada paras berjaga-jaga.

Penduduk, Jafri Yusof, 50, berkata, biarpun paras air sungai lebih tinggi berbanding biasa penduduk masih tenang, namun sentiasa peka dan bersedia jika berlaku gelombang ketiga banjir.

“Sejak dua hari lalu, saya lebih kerap ke tebing Sungai Golok untuk melihat sendiri paras air dan mendapati ia mula meningkat sejak semalam sehingga pagi tadi, namun sebelah petang sedikit berkurangan.

“Penduduk yang lama menetap di sini memang sudah lali dengan banjir, namun sentiasa bersedia kerana mengikut pengalaman ada masanya ia tiba tanpa dijangka.

“Jika paras air menunjukkan peningkatan berterusan saya dan keluarga mengambil langkah segera dengan mengangkat perabot serta menyimpan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Gergaji, di sini, hari ini.

PENUMPANG bot tambang menggunakan titian kayu untuk ke pekan Rantau Panjang di Pengkalan Gergaji selepas paras Sungai Golok meningkat melepasi paras berjaga-jaga. FOTO Syamsi Suhaimi
PENUMPANG bot tambang menggunakan titian kayu untuk ke pekan Rantau Panjang di Pengkalan Gergaji selepas paras Sungai Golok meningkat melepasi paras berjaga-jaga. FOTO Syamsi Suhaimi

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok berada pada bacaan 7.12 meter setakat jam 3.20 petang, sekali gus melepasi paras berjaga-jaga iaitu tujuh meter.

Seorang lagi penduduk, Ismizal Ismail, 45, yang juga penduduk di pekan Rantau Panjang meluahkan rasa bimbang dengan cuaca hujan kebelakangan ini.

“Lagi pun, setakat ini hanya dua gelombang banjir berlaku, kami sudah biasa fenomena ini berlaku sebanyak tiga gelombang (tiga kali banjir).

“Bagaimanapun, saya berdoa tiada lagi banjir dalam masa terdekat memandangkan peniaga dan penduduk di sini belum habis lelah mengemas akibat bah sebelum ini,” katanya.

PENDUDUK, Jafri melihat aras Sungai Golok yang menunjukkan sedikit menurun iaitu 7.12 meter dicatatkan jam 3 petang tadi berbanding pagi tadi 7,16 meter berikutan cuaca cerah pada sebelah petang. FOTO Syamsi Suhaimi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:38 PM