KUALA LUMPUR 13 FEBRUARI 2020. Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR 13 FEBRUARI 2020. Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. NSTP/ASWADI ALIAS.
BERNAMA

BEKAS Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau terkejut dan tertanya-tanya mengapa Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan minat terhadap projek solar hibrid.

Beliau juga tertanya apakah kaitan dan kepentingan isteri bekas perdana menteri itu dengan projek tersebut.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata ia adalah kerana isteri Datuk Seri Najib Razak itu meminta beliau “tengok” dan “cepatkan sikit” permohonan projek itu.

Madinah, 63, yang memegang jawatan itu mulai 13 Jun 2013 sehingga bersara pada 2 September 2016, berkata Rosmah membuat permintaan itu selepas tamat majlis Permata yang diadakan di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sebelum Jun 2016.

“Selepas tamatnya majlis Permata seperti kelaziman dan sebagai tanda hormat, Rosmah sebagai VVIP berjalan menuju ke kereta beliau diiringi dari belakang oleh saya dan VIP lain.

“Selepas Rosmah masuk ke dalam keretanya, beliau menurunkan cermin tingkap kereta dan memanggil saya dengan cara melambai ke arah saya.

“Apabila saya menghampiri Rosmah, beliau memberitahu saya lebih kurang begini ‘you tengok sikit projek solar Jepak (Jepak Holdings Sdn Bhd). Cepatkan sikit.’ Saya hanya menjawab ‘Insya-Allah Datin Seri’ dan selepas itu beliau beredar,” katanya yang menghadiri majlis tersebut sebagai ahli lembaga Yayasan Permata.

Membacakan penyataan saksinya, Madinah yang juga bekas Ketua Audit Negara, berkata sebelum ini Rosmah tidak pernah membuat permintaan seperti itu kepada beliau berkaitan projek kerajaan.

“Apa yang saya faham daripada permintaan Rosmah adalah beliau memerlukan bantuan saya sebagai KSU Kementerian Pendidikan untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid supaya projek tersebut dianugerahkan kepada Jepak.

“Permintaan daripada Rosmah mewujudkan suatu ‘sikap kesegeraan’ dalam diri saya bahawa permohonan projek solar hibrid perlu diberi perhatian oleh saya dan saya sendiri perlu menyusul dengan segera untuk menjayakan permohonan projek solar hibrid oleh Jepak,” katanya.

Menurut saksi itu, beliau berperasaan sedemikian kerana kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri (pada masa itu) dan dalam tanggapannya wanita itu adalah seorang individu berpengaruh kerana boleh mempengaruhi tindakan Najib.

Selain itu, Madinah berkata Najib ada mengeluarkan arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak dan menggantikan projek genset diesel.

“Sebagai penjawat awam, sebarang teguran daripada perdana menteri adalah satu perkara yang serius kecuali dalam keadaan tertentu yang tidak membolehkan tindakan diteruskan.

“Tidak berapa lama selepas itu, saya mendapat desakan daripada pelbagai penjuru untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid Jepak. Desakan itu diberikan oleh Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah) dan Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah iaitu rakan perniagaan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin),” katanya.

Menurut saksi, Rizal menghubunginya dari semasa ke semasa berkaitan urusan perolehan projek solar hibrid sehinggalah tarikh persaraan beliau pada 2 September 2016.

“Rizal juga ada menggunakan nama Rosmah ataupun ‘mem’ ketika berkomunikasi dengan saya. Sebagai contoh, Rizal akan memberitahu saya bahawa ‘mem’ bertanyakan ‘kemajuan’ projek solar hibrid.

“Mesej Rizal kepada saya secara konsisten adalah berkisar kepada isu permohonan projek solar hibrid seperti status tindakan Kementerian Pendidikan, tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pendidikan dan tindakan yang perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk menjayakan permohonan Jepak,” katanya.

Madinah berkata, Rizal pernah memberitahunya bahawa ‘mem’ ada bertanya kenapa terdapat ‘delay’ dalam permohonan kelulusan rundingan terus kepada Kementerian Kewangan.

“Saya pernah memberitahu Rizal yang Kementerian Pendidikan akan mengangkat permohonan kelulusan rundingan terus selepas semua sudah sedia.

“Saya juga pernah memberitahu Rizal mengenai isu ketiadaan peruntukan bajet pembangunan untuk melaksanakan projek solar hibrid. Rizal meminta saya untuk majukan permohonan sahaja dan menggunakan ayat lebih kurang seperti ‘bos tahulah apa nak buat’ dan saya tahu ‘bos’ yang dimaksudkan ialah Najib,” katanya.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:59 PM