SUTAN (tiga dari kanan) berjaya meraih tempat pertama dalam pusingan kedua Toyota Vios Challenge.
Muhamaad Razis Ismail

USIANYA sudah mencecah 48 tahun, namun ia bukan penghalang kepada Sutan Mustaffa Salihin terus aktif dalam arena perlumbaan.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun berlumba di litar tidak malu mengaku sebagai ‘budak baru’ dalam Toyota Vios Challenge.

Biarpun, baru membuat penampilan sulung dalam musim ketiga siri perlumbaan berkenaan, Sutan membuat permulaan meyakinkan ketika pusingan pertama dan berjaya meraih tempat pertama dalam pusingan kedua.

Sutan berkata, siri perlumbaan ini berbaloi disertai kerana dianjurkan secara profesional selain disokong sepenuhnya oleh sebuah jenama pengeluar kenderaan yang mempunyai kekuatan penuh untuk pemasaran, pengiklanan dan promosi sekali gus menjadi salah satu siri perlumbaan yang dianjurkan secara profesional di Malaysia.

“Sebagai pelumba persendirian, pakej ditawarkan sangatlah menarik. Daripada jentera yang dipersiap sepenuhnya dengan harga berpatutan, bantuan pembiayaan turut disediakan, diberi bekalan tayar untuk satu musim, sut perlumbaan, hadiah wang tunai menarik serta layanan yang sangat menyenangkan kepada semua pelumba.

“Secara keseluruhannya, siri ini memberikan nilai yang cukup berbaloi. Saya sangat kagum dengan apa yang dilakukan Toyota dan sangat sukakan suasana keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, Toyota Vios Challenge boleh menjadi platform baik kepada pelumba muda kerana membantu mereka mengasah bakat di dalam sebuah perlumbaan yang adil dan sama rata.

“Sukan perlumbaan, dalam bentuk yang paling asas, sentiasa membabitkan banyak duit untuk mengubah suai dan meningkatkan prestasi jentera. Sebaliknya, di dalam perlumbaan seperti ini, anda tidak perlu berdepan dengan perkara berkenaan kerana semua peserta akan menggunakan spesifikasi jentera yang sama,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah berlumba selama 20 tahun, ini kali pertama dia bersaing di litar jalanan dan masih lagi berusaha mengatasi cabaran psikologi kerana ia berbeza dengan perlumbaan rali dan litar tetap.

SEBAHAGIAN kereta yang terbabit dalam Toyota Vios Challenge.

“Pertama kali berlumba di luar litar tetap di Kuala Terengganu pada September tahun lalu benar-benar memberikan saya rasa gerun, terutama ketika melihat penghadang keselamatan konkrit yang digunakan namun dari sisi lain ia mempunyai tarikan tersendiri, terutama kepada mereka yang sentiasa mencari pengalaman baru dalam perlumbaan,” katanya.

Sutan berkata, ketika memandu dia perlu berhati-hati kerana hanya dengan sedikit perlanggaran akan menyebabkan kerosakan teruk pada kereta sekali gus perlu mengeluarkan banyak belanja untuk kerja baik pulih.

“Apa juga kos baik pulih jentera saya perlu tanggung sendiri. Saya meletakkan had perbelanjaan sekitar RM150,000 setiap musim perlumbaan, termasuk harga pembelian kenderaan serta semua kos yang terbabit, tetapi tidak termasuk kos baik pulih.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya ia meningkatkan keyakinan dalam meningkatkan kelajuan ketika di dalam litar,” katanya.

Ditanya mengenai peluang dalam pusingan ketiga, Sutan berkata, dia akan terus mengekalkan strategi memandu dengan berhati-hati, kekal fokus dan manfaatkan peluang yang ada.

“Ini kali pertama saya berlumba di litar Stadium Batu Kawan, dan saya akan manfaatkan setiap sesi latihan dan kelayakan untuk mempelajari lebih lanjut mengenai sifat litar berkenaan untuk mendapatkan talaan terbaik bagi jentera saya.

“Saya membayangkan akan berdepan tugas sukar bersaing dengan 15 lagi pelumba untuk merebut kedudukan terbaik, kerana ramai di antara mereka sudah menimba pengalaman dalam dua musim terdahulu serta mempunyai data perlumbaan di litar terbabit,” katanya.

Pusingan ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) akan diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dari 15-16 Februari 2020.

Festival berkenaan turut akan mempamerkan model terbaru Toyota berserta sesi pandu uji, persembahan drift oleh pemandu Jepun dengan kerjasama ToyoTires, cabaran simulator perlumbaan, permainan pentas, persembahan selebriti, aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi bersama peminat oleh selebriti yang terbabit dalam perlumbaan kelas Promotional.

Selain itu, beberapa aktiviti lain diadkaan, termasuk riadah fun run di dalam litar, sesi zumba, pameran dan jualan motosikal Harley-Davidson dan Moto Guzzi, pertandingan bey blade, jualan model Hot Wheels dan pameran oleh Art of Speed.

SUTAN bersama jentera Toyota Vios miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:52 PM