ANTARA barang dirampas dalam tangkapan terhadap pekerja kilang wanita yang membuat laporan palsu mendakwa disamun kawasan Kubang Semang, Bukit Mertajam.
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA kerana tidak mahu pergi kerja, seorang pekerja kilang wanita membuat laporan polis mendakwa disamun penjenayah motosikal di kawasan Kubang Semang, Bukit Mertajam hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan dibuat wanita berusia 28 tahun berkenaan dengan mendakwa disamun ketika menunggang motosikal oleh dua lelaki di kawasan berkenaan pada 6.40 pagi.

“Pekerja kilang itu mendakwa dua penjenayah berkenaan melarikan dompet miliknya mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, wang tunai RM150, pas pekerja kilang serta kad ATM.

“Pada awalnya, kami melakukan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan tanpa senjata berdasarkan laporan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan mendapati wanita itu pernah membuat tiga laporan mendakwa dirinya disamun.

“Hasil penelitian laporan sebelum ini, kami mendapati jalan cerita kejadian adalah hampir sama.

“Ketika wanita itu mahu dibawa untuk menunjukkan tempat kejadian samun, dia kelihatan teragak-agak menunjukkan lokasi tepat.

“Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, akhirnya wanita itu mengaku membuat laporan polis kerana tidak mahu pergi kerja bekerja.

“Berdasarkan pengakuan suspek, kami membuat rampasan barang dilaporkan disamun di dalam raga motosikal miliknya.

“Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 10:04 PM