POLIS menjalankan siasatan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sultanah yang dipecah masuk lapan lelaki. FOTO IHSAN PEMBACA
POLIS menjalankan siasatan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sultanah yang dipecah masuk lapan lelaki. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuliaty Zulkiffli


SEKUMPULAN lelaki yang membawa sebuah lori kononnya untuk membantu angkat barang pindah di sebuah rumah di Jalan Sultanah di Alor Setar semalam, rupa-rupanya mahu mencuri.

Bagaimanapun, cubaan mereka itu terbongkar selepas kejadian berkenaan disedari jiran rumah itu pada 7 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, jirannya yang berusia 61 tahun mengesyaki rumah itu dipecah masuk.

Menurutnya, dia terus menghubungi pemilik rumah berkenaan yang ketika itu tiada di kediaman dan bertanyakan mengenai kehadiran sebuah lori dan kereta di hadapan rumahnya.

Katanya, apabila pemilik rumah memaklumkan dia tidak tahu apa yang berlaku menyebabkan pengadu segera menghubungi polis untuk bantuan.

“Susulan daripada itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang ke lokasi berjaya menahan tujuh lelaki di hadapan rumah berkenaan.

SUSPEK yang ditahan polis kerana disyaki terbabit memecah masuk sebuah rumah di Jalan Sultanah menggunakan sebuah lori. FOTO IHSAN PEMBACA
SUSPEK yang ditahan polis kerana disyaki terbabit memecah masuk sebuah rumah di Jalan Sultanah menggunakan sebuah lori. FOTO IHSAN PEMBACA

“Turut dirampas sebuah lori yang sudah berisi perabot di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rozi berkata, suspek utama kumpulan itu berusia 25 tahun dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif methaphetamine.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, suspek yang juga peniaga goreng pisang itu memiliki dua rekod jenayah termasuk dikehendaki polis.

“Enam lagi lelaki yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dipercayai pekerja dan pemilik lori berkenaan.

“Susulan itu juga, kita menahan seorang lagi suspek berusia 24 tahun di Shahab Perdana, Mergong hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Rozi berkata, suspek terakhir yang ditahan itu dipercayai rakan sejenayah dengan suspek utama kes berkenaan.

Beliau berkata, mereka ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 11:15 PM