Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan polis menahan seorang pelajar yang positif koronavirus baharu atau Covid-19 di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Kulai Besar, Kulai yang tular di media sosial petang semalam.

Pengarah JKNJ Dr Aman Rabu berkata, pelajar berkenaan dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut membabitkan kes yang disyaki berjangkit.

Menurutnya, JKNJ menafikan kenyataan yang menyatakan kanak-kanak itu positif jangkitan COVID-19 dan ditangkap polis.

“Laporan polis dibuat oleh pihak hospital berikutan kanak-kanak yang disyaki mengidap penyakit berjangkit itu dibawa pulang keluarganya walaupun dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan siasatan lanjut.

“Tindakan terhadap pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit itu adalah mengikut prosedur bagi memastikan pesakit mematuhi arahan hospital.

“Memandangkan kes ini adalah disyaki berjangkit, polis meminta bantuan ambulans untuk tujuan membawa kanak-kanak itu ke wad, ” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru.

Petang semalam, laporan polis mengenai pasangan ibu bapa yang kononnya melarikan anak mereka yang disyaki dijangkiti wabak Covid-19 dari kuarantin sebuah hospital kerajaan tular di media sosial.

Dr Aman berkata, orang awam perlu maklum adalah menjadi kesalahan jika melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Pengakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 12:14 AM
    Digital NSTP Subscribe