KAKITANGAN farmasi mengumumkan kehabisan stok penutup hidung dan mulut, 27 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
KAKITANGAN farmasi mengumumkan kehabisan stok penutup hidung dan mulut, 27 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Nor Farhani Che Ad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta syarikat penutup hidung dan mulut tempatan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kesukaran mendapatkan bekalan itu di beberapa negeri.

“Ketika ini, kita sudah berjumpa dengan lima pengeluar penutup hidung dan mulut terbesar tempatan dan meminta mereka menambah pengeluaran penutup tiga lapisan bagi menangani masalah kekurangan bekalan yang sedang berlaku,” katanya ketika sidang media pada Majlis Perasmian Pembukaan 99 Speedmart Cawangan Pertama di Kedah di Taman Melur, Bandar Baharu, hari ini.

Saifuddin berkata, terdapat pengeluar tempatan berupaya mengeluarkan sehingga 100,000 penutup hidung dan mulut jenis itu dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata, terdapat juga pengeluar tempatan terbabit yang sudah mempunyai bekalan sedia ada dalam kuantiti sehingga 200,000 unit.

Katanya, pemantauan akan terus dilakukan di setiap pengeluar terbabit bagi memastikan bekalan mencukupi mengikut keupayaan masing-masing.

Beliau berkata, KPDNHEP juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk membeli penutup hidung dan mulut berkenaan untuk diagihkan ke seluruh negara.

“Kita akan putuskan kemudian bagaimana cara pendekatan pengagihan,” katanya.

SAIFUDDIN (kanan) meninjau barangan di cawangan 99 Speedmart pertama di Kedah. FOTO Nor Farhani Che Ad
SAIFUDDIN (kanan) meninjau barangan di cawangan 99 Speedmart pertama di Kedah. FOTO Nor Farhani Che Ad

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk penambahan syif bekerja bagi membolehkan operasi 24 jam.

“Mereka bersetuju untuk segera memberi kelulusan tambah syif yang selama ini dua syif kepada tiga syif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga berikutan ia adalah barangan kawalan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu penutup hidung dan mulut tiga lapisan berharga RM0.80 seunit.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian secara panik bagi mengelakkan kekurangan stok di pasaran.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 3:07 PM