TUN DR MAHATHIR MOHAMAD.
BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini yang bertujuan mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak Covid-19 terhadap Malaysia selain memelihara kebajikan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020 tetapi bantuan kepada industri yang terjejas.

“Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara bangkit semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak COVID-19 berakhir,” katanya.

Koronavirus baharu kini dikenali sebagai Covid-19, kali pertama dikesan di Wuhan, China.

Di Malaysia, 19 orang disahkan dijangkiti virus itu dengan 13 merupakan warganegara China dan enam rakyat Malaysia.

Seramai tiga orang diberi rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital di Malaysia.

Menjelas lebih lanjut, Lim berkata perhatian utama diberikan kepada aliran tunai dan syarikat yang terkesan hendaklah memastikan supaya mereka terus kekal beroperasi dan berupaya meraih manfaat daripada lonjakan semula ekonomi.

“Kerajaan akan membantu syarikat tersebut, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain,” katanya.

Ini juga melibatkan langkah mengekalkan daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan selain memastikan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan tersebut dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berserta pelbagai agensi.

Kerajaan mengadakan sesi rundingan dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik, dan kewangan.

Kementerian tersebut juga mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga tabung dan syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, Lim berkata, Kementerian Kesihatan melakukan yang terbaik dalam membendung wabak Covid-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas di khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:14 PM