TAN (gambar kecil) tersepit dalam lorinya selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


PEMANDU lori merintih kesakitan apabila kedua belah kakinya tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori lain di Batu 8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani dekat Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, Tan Ab Ba, 69, dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke hospital.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 2.58 petang.

Katanya, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Khairi Che Lah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi pada 3.08 petang.

“Pasukan dibantu anggota BBP Guar Chempedak. Dua lori terbabit kemalangan dengan seorang pemandu tersepit manakala, seorang lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota menggunakan alat penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa segera dan dia diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:53 PM