MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
Hazira Ahmad Zaidi


KELANTAN mengguna pakai Fatwa Kebangsaan yang membenarkan anak tidak sah taraf dalam Islam boleh dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, fatwa berkenaan sudah sekian lama digunakan di Kelantan, iaitu sejak diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

“Di mana ia memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf perlu berbin atau berbintikan Abdullah.

“Abdullah membawa maksud hamba Allah dan mereka juga adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 dilaporkan memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dilaporkan membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017 memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu dilaporkan berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:57 PM