Pegawai Kesihatan memantau pengimbas suhu terhadap pelancong asing yang memasuki negara melalui jalan laut bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di Boustead Cruise Centre, Pulau Indah, Klang semalam. Foto BERNAMA
Amir Abd Hamid dan Noor Atiqah Sulaiman


SEBAGAI langkah pencegahan koronavirus baharu (Covid-19), kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing berlabuh di perairan negara sekiranya enggan berkongsi maklumat penting diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menegaskan demikian susulan dua kapal asing cuba berlabuh di negara ini.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan terdapat percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong.

“Dua kapal itu, kapal Westerdam dan kapal Sapphire Princess.

“Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia.

“Kapal itu sudah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam (13 Februari), manakala Sapphire Princess pula sudah selamat berlabuh di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas JPBP berhubung kluster penyakit Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia tidak akan mengikuti jejak langkah China untuk menukar definisi kes Covid-19.

“Definisi Covid-19 di China, mana-mana pesakit di Wilayah Hubei yang menunjukkan semua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes positif (clinically diagnosed cases).

“Pendekatan sedemikian hanya dilaksanakan di Hubei, dekat Wuhan kerana makmal di wilayah itu ketika ini tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Malaysia yang bertanggungjawab melakukan ujian saringan Covid-19 masih berupaya menampung operasi pengesanan termasuk membabitkan kemasukan warga asing di negara ini,” katanya.

Berbanding Hubei, Wan Azizah berkata, IMR sudah membuat persiapan awal selepas berita mengenai Covid-19 itu tercetus.

Sehubungan itu, beliau berkata, setakat ini Malaysia belum buat keputusan untuk mengikuti langkah China menukar definisi kes positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:08 PM