Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ekoran penularan Covid-19. FOTO Aswadi Alias
Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ekoran penularan Covid-19. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid dan Noor Atiqah Sulaiman


PENUTUP hidung dan mulut dilarang dijual secara pukal dan dihantar ke luar negara bagi memastikan bekalan untuk pasaran tempatan mencukupi susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, arahan juga sudah dikeluarkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan segera.

“KPDNHEP turut melaporkan status bekalan keperluan untuk pencegahan Covid-19.

“Antara langkah kawal seliaan bekalan dan harga jualan penutup hidung dan mulut di pasaran yang sudah diambil, mengeluarkan surat arahan kepada KPDNHEP Negeri dan cawangan untuk mengarahkan penjual membuat kawalan kendiri serta tidak menjual secara pukal kepada pelanggan untuk dihantar ke luar negara.

“Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah pun memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk penghasilan lebih banyak penutup hidung dan mulut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas JPBP berhubung kluster penyakit Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, pengilang meminta supaya kilang beroperasi secara 24 jam dan kerja tiga syif bagi meningkatkan pengeluaran penutup hidung dan mulut.

Sementara itu, katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan 105 individu yang dipantau di Pusat Pemantauan Home Surveillance Centre (HSC) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, berada dalam keadaan baik.

“Semua urusan termasuk pentadbiran berjalan lancar. Jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif Covid-19, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu pada 18 Februari ini,” katanya.

Apa pun, katanya, inisiatif daripada kerajaan terutamanya pihak berkuasa sahaja tidak akan memberikan kesan jika tidak mendapat kerjasama masyarakat.

“Jika anda atau ada orang yang anda kenali baru sahaja kembali dari Wuhan atau negara China amnya, atau mempunyai sebarang interaksi langsung atau tidak langsung dengan individu dari wilayah atau negara-negara yang terjejas dengan COVID-19, saya mohon untuk laporkan kepada hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:38 PM