GAMBAR HIASAN
BERNAMA

TIGA penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis sebelum memeras ugut pekerja asing berdekatan satu kedai runcit di Klang Utara, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurul Huda Mohd Salleh berkata, ketiga-tiga penguat kuasa berumur antara 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan sejurus laporan dibuat pekerja asing itu mengenai kejadian terbabit pada 4 petang.

“Mangsa lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai pembantu di kedai runcit itu. Dia didatangi ketiga-tiga suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memeriksa dokumen rakannya yang juga warga asing.

“Suspek kemudiannya memeras ugut mangsa sejumlah wang tunai bertujuan untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya itu,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Nurul Huda berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan direman tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin dalam kenyataan memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai penahanan tiga penguat kuasa berkenaan dan bersedia bekerjasama dengan polis untuk siasatan lanjut.

“MPK tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Pekerja (Perlakuan Dan Tatatertib) MPK 1995 sekiranya ketiga-tiga penguat kuasa itu didapati bersalah dan menjejaskan imej MPK.

“MPK tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa oleh warga kerjanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 8:52 PM