SEORANG wanita memakai topeng muka ketika mahu menaiki kereta api bawah tanah di Shanghai, China.
M Hifzuddin Ikhsan


MALAYSIA menyatakan simpati kepada China berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang setakat ini mengorbankan lebih 1,000 nyawa rakyat negara itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu diluahkan ketika perbualan telefon bersama Presiden China Xi Jinping, petang kelmarin.

“Kita menyatakan perasaan simpati kepada Xi Jinping dan berterima kasih kerana Presiden China mengambil berat isu ini dan mengambil tindakan luar biasa membanteras penularan penyakit.

“Saya fikir dia (Xi Jinping) buat apa yang mungkin dilakukan. Kita juga berterima kasih kerana dia tolong kita bawa balik rakyat Malaysia di sana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2 Villa Sirehan di sini, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam, memaklumkan kedua-dua pemimpin itu mencapai kesefahaman bersama dan berjanji bekerjasama mengawal serta mengatasi wabak itu termasuk meminimumkan impaknya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia ketika ini dilihat berkesan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 dan sudah bersedia sejak peringkat awal lagi.

“Kita berjaga-jaga dari (peringkat) awal. Kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia terutama dari China dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu, kita kuarantin mereka selama 14 hari.

“Orang kita di Wuhan yang dibawa balik juga dikuarantin 14 hari. Dengan cara ini, kita bernasib baik kerana ada 19 kes sahaja (kes Covid-19) dan kebanyakannya warga China.

“Setakat ini (usaha kita) berkesan, saya harap kerjasama orang ramai dapat membanteras dan melindungi negara daripada penyakit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:10 AM