RAZALI Wagiman. FOTO Arkib NSTP.
RAZALI Wagiman. FOTO Arkib NSTP.
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor akan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan kes berhubung sebuah artikel yang disiarkan sebuah portal berita.

Pengarah JPJ Negeri Johor, Razali Wagiman berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berwajib berhubung artikel berkenaan.

“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) semalam.

“Kes dalam siasatan. Belum ada ‘update’ (perkembangan) baru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai siasatan lanjutan akan dijalankan ke atas anggota dan pegawainya, beliau memaklumkan PDRM akan menjalankan kes itu secara terperinci.

“Saya tidak dapat ulas sebab kes ini dalam tindakan polis,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan, JPJ memaklumkan pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat menerusi artikel itu.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa di jabatan ini dan tindakan tatatertib sehingga buang kerja akan dikenakan jika disabitkan kesalahan.

“JPJ mengharapkan kerjasama semua pihak dalam membanteras jenayah rasuah di jabatan itu selaras dengan aspirasi Malaysia Bersih,” katanya.

Portal berita itu semalam menyiarkan artikel mendakwa berlaku kegiatan rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan anggota JPJ di beberapa negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 10:20 AM
Digital NSTP Subscribe