Anggota APM meninjau rumah runtuh di Kampung Jeriah, Sibu. FOTO Harun Yahya


SERAMAI 16 orang dari empat keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah didiami mereka di Kampung Jeriah di Sibu, runtuh lewat petang semalam.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Wan Kamarudin Wan Ahmad bagaimanapun berkata, semua mangsa berusia lima bulan hingga 64 tahun tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, penghuni rumah itu terdengar bunyi gegaran pada pukul 12 tengahari semalam namun tidak diendahkan kerana menganggapnya bunyi biasa.

“Sekitar pukul 6.50 petang, satu gegaran berlaku di bahagian dapur menyebabkan semua penghuni bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.”

“Dua minit kemudian gegaran lebih kuat berlaku dan kali ini menyebabkan bahagian dapur hingga bahagian ruang tamu runtuh.” Katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarudin berkata, mangsa kini menumpang di rumah saudara mara mereka yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Selepas memasang sawar atau pita keselamatan di sekeliling runtuhan, anggota bomba turut menasihatkan ahli keluarga mangsa supaya tidak masuk semula ke kawasan runtuhan pada waktu malam untuk mengambil dokumen-dokumen penting.” Katanya

Dalam pada itu, Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menghantar Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada ketua isi rumah malam tadi.

Untuk rekod, kejadian itu merupakan insiden kedua rumah runtuh di Kampung Jeriah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 12:53 PM