SEORANG lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan rokok seludup dalam serbuan di Jalan Harmoni Kangkar Pulai, petang semalam. FOTO ihsan BATALION 5 PGA
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG lelaki disyaki konco sindiket penyeludupan rokok tidak sempat mengedar bekalan ke kedai runcit di sekitar daerah ini apabila dia ditahan di Jalan Harmoni, Kangkar Pulai dekat sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam kira-kira 5 petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, pemeriksaan ke atas Perodua Alza yang dipandu suspek menemukan 190 karton rokok seludup pelbagai jenama dan wang tunai RM4,453.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM68,635,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok seludup ke kedai runcit di sekitar kawasan Johor Bahru.

“Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas di bawah kesalahan Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 1:41 PM