X
ANTARA 700 pesakit kanser payudara pada program Walk For Cancer Survivors. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA 700 pesakit kanser payudara pada program Walk For Cancer Survivors. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

KIRA-KIRA 60 peratus pesakit kanser payudara lambat mendapatkan rawatan dan datang ke hospital pada tahap tiga dan empat bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Wan Fatihah Wan Sohaimi berkata, kebanyakan pesakit yang berada pada tahap berkenaan sudah dianggap kritikal.

Katanya, dipercayai ia disebabkan mereka lebih mempercayai rawatan alternatif iaitu berjumpa dengan bomoh selain mempunyai malu apabila disahkan menghidap kanser payudara.

“Bagi wanita yang berusia 40 tahun ke atas mereka sepatutnya menjalani saringan awal rawatan kanser dengan melakukan pemeriksaan mammogram sebagai langkah pencegahan awal.

“Sekiranya mereka datang mendapatkan rawatan awal iaitu pada tahap satu dan dua, peratusan untuk pesakit ini sembuh lebih tinggi tambahan pula mendapat sokongan daripada mereka yang melawan serta menjalani rawatan kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Walk For Cancer Survivors 1.0 yang dirasminkan oleh Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Adam Husein di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, hari ini.

Tujuan utama program berkenaan diadakan adalah untuk meraikan pesakit yang berjaya melawan kanser disamping memberi sokongan padu kepada mereka yang sedang menjalani rawatan.

Kira-kira 700 peserta yang sebahagiannya adalah pejuang kanser turut menyertai acara berjalan kaki sejauh dua kilometer sebagai simbol gaya hidup sihat dalam program yang diadakan itu.

Wan Fatihah berkata, sepanjang tahun lalu, statistik kanser daripada jabatan itu yang juga pusat rujukan utama kes kanser di Pantai Timur adalah 828 kes baharu dan 4,000 kes ulangan, manakala kanser payudara mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,097 kes.

“Kebanyakan pesakit kanser payudara yang dikesan di peringkat awal mengambil sikap tidak peduli walaupun ada benjolan atau ketumbuhan kecil memandangkan ianya tidak berasa sakit.

“Sepatutnya masalah ini perlu dirujuk kepada doktor kerana bimbang ianya semakin serius dan akhirnya yang boleh menyebabkan kematian akibat tidak ada rawatan awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:00 PM
Kabinet Malaysia 2020