GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Balqis Jazimah Zahari


CUACA tropika Malaysia memberi kelebihan dalam mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Menurutnya, ia berdasarkan kajian awal dan penjelasan Ketua Saintis, Kementerian Kesihatan Singapura Profesor Tan Chorh Chuan, bahawa virus berkembang dengan lebih baik di iklim sejuk dan kering.

“Kalau kita melihat di Malaysia, cahaya matahari dan kawasan lapang memang membawa kepada suhu lebih daripada 30 darjah celsius.

“Jadi ini peluang untuk kita mengurangkan penularan virus sekiranya wabak itu menular di dalam negara,” katanya ditemui pada program Pengagihan Sistem Pengawasan ke Sekolah dan Organisasi Kebajikan di Ipoh Swimming Club, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di Ipoh, hari ini.

Tan dilapor menjelaskan dapatan kajian itu menerusi persidangan berkaitan wabak koronavirus di Singapura, minggu lalu.

Pakar itu turut dipetik berkata, tidak menggalakkan orang ramai menggunakan penyaman udara dalam usaha mengurangkan penularan wabak, sebaliknya menggantikannya dengan kipas.

Mengulas itu, Dr Lee berkata, kaedah berkenaan boleh dipertimbangkan sekiranya Covid-19 menular dalam kalangan komuniti di Malaysia.

“Buat masa ini, negara kita belum sampai ke tahap itu dan kita memerlukan lagi maklumat daripada kajian sains dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:40 PM