Laporan portal Harian Metro
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita tidak benar berkaitan kejadian bangunan runtuh di Taman Desa di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini kerana, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 3.46 petang daripada lelaki yang juga penyelia projek.

Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan bangunan dalam pembinaan itu runtuh.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan membabitkan 27 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 120 anggota bomba dan 20 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ia turut membabitkan sembilan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta beberapa agensi lain.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku 3.30 petang dan runtuhan berlaku di sebahagian tingkat enam (pembinaan kolam renang) hingga ke tingkat satu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, 159 pekerja tapak pembinaan itu diselamatkan.

Ia termasuk dua lelaki warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan tapak pembinaan itu yang mana mereka berjaya dikeluarkan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke HKL untuk rawatan dan seorang daripadanya dibenarkan pulang,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Dua pekerja binaan diselamatkan
  • JBPM tunggu maklum balas JKKP [METROTV]
  • Seorang lagi mangsa masih terperangkap [METROTV]
  • Unit K9 kesan mangsa terperangkap
  • Struktur kondominium dalam pembinaan runtuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:23 PM