Gambar hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


TEKANAN hidup dan ditinggalkan suami antara punca wanita tidak dapat mengawal kemarahan seterusnya menjadikan anak-anak sebagai mangsa dera.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, kebanyakan ibu kandung ini ditinggalkan suami dan terpaksa mencari sumber pendapatan sendiri bagi menyara keluarga selain menjaga anak.

Menurutnya, apabila mereka tidak tahu cara untuk mengawal tekanan yang terbuku di hati, akhirnya anak-anak menjadi mangsa.

“Statistik merekodkan, 192 kes daripada 685 kes dera dilakukan ibu kandung namun ia bukan bermaksud golongan ini lebih ganas, cuma ia berlaku akibat tekanan hidup.

“Kita juga bukan ingin menghakimi golongan ibu tetapi mahu membantu mereka yang berdepan tekanan hidup untuk mendapatkan bimbingan kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Subang Jaya di Subang Jaya, hari ini.

Yeoh berkata, jiran dan ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kejadian dera kepada pihak berkuasa jika mengetahuinya.

“Jika tidak dilaporkan, kemungkinan anak itu akan berdepan kecederaan serius termasuk risiko mati kerana ada kalanya, yang memukul itu mungkin berdepan isu kesihatan mental.

“Kerana itu kita wujudkan Talian Kasih yang lebih mesra rakyat supaya mereka boleh menghantar lokasi dengan segera untuk disemak,” katanya.

Semalam, media melaporkan, rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lalu mendapati 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati, golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pengasuh Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) atau penjaga pusat jagaan membabitkan 29 kes (enam peratus), manakala kes membabitkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes.

Jumlah itu antara kes diperoleh daripada 25,868 panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:35 PM