KEBAKARAN memusnahkan sebuah rumah yang didiami 14 penghuni di Kampung Penakup, Mukah, hari ini. FOTO Ihsan BOMBA
Mohd Roji Kawi


ANGGOTA bomba menyelamatkan wang tunai RM27,000 ketika memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Penakup Ulu di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, wang tunai berkenaan ditemukan anggota yang terbabit operasi pemadaman kira-kira jam 9.20 pagi.

Beliau berkata, wang tunai itu kemudiannya diserahkan kepada pemilik rumah berkenaan.

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.26 pagi dan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerah ke lokasi.

“Ketika kerja memadam dilakukan, anggota kami menemui sebuah beg yang mengandungi sejumlah wang tunai,” katanya.

Ling Hii berkata, rumah berkenaan didiami seramai 14 penghuni dari dua keluarga berusia antara setahun enam bulan hingga 73 tahun termasuk seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 38 tahun.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah berstruktur kayu itu namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 4:01 PM