X
Perajurit Muda Mohd Affendy Rizman dan adik kembarnya, Mohd Affendu Rizman bersama bapanya, Karangranu Islanu, 45, dan ibunya, Maimaanah Jurukan, 51 selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat siri 190/19 di PUSASDA, Port Dickson. Foto Khidir Zakaria
Perajurit Muda Mohd Affendy Rizman dan adik kembarnya, Mohd Affendu Rizman bersama bapanya, Karangranu Islanu, 45, dan ibunya, Maimaanah Jurukan, 51 selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat siri 190/19 di PUSASDA, Port Dickson. Foto Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

PASANGAN kembar, Affendy Rizman Karangranu dan adiknya, Mohd Affendu Rizman Karangranu, 19, gembira apabila hasrat mereka untuk menjadi anggota tentera tercapai.

Dua beradik kembar itu adalah antara 1,809 Perajurit Muda yang berjaya menamatkan latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Siri 190/19 di Port Dickson, Negeri Sembilan, tadi.

Affendy Rizman dan kembarnya, Mohd Affendu bagaimanapun dipisahkan apabila diletakkan di kompeni berasingan sepanjang latihan itu.

Menurut Affendy, jadual latihan yang padat menyebabkan mereka mengambil kesempatan berjumpa setiap kali solat Jumaat di masjid PUSASDA.

"Kami tidak kisah jika berkhidmat di kor berbeza. Apa yang penting kami sudah menamatkan latihan di sini dan mencapat cita-cita," katanya ketika ditemui selepas tamat acara perbarisan tamat latihan disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Adiknya, Mohd Affendu Rizman pula berkata, minat mereka itu turut disokong abang sulung mereka, Koperal Mohd Hamizan yang terlebih dahulu berkhidmat dalam kor Renjer di Kuching, Sarawak.

"Setiap kali abang pulang ke kampung, pasti kami teruja mencuba seragam tentera yang dibawanya.

"Abang selalu mencabar kami memasuki tentera jika berhasrat mahu menyarung seragam tentera," katanya yang ditemani bapa, Karangranu Islanu, 45, dan ibunya, Maimaanah Jurukan, 51.

Sementara itu, Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Muhammad Alif Najmi Rabiul Shawal, 19, berkata, dia tidak menyangka akan dipilih memenangi anugerah Keseluruhan Terbaik.

"Pada mulanya ramai ahli keluarga tidak yakin dengan hasrat saya mahu jadi tentera kerana tiada ahli keluarga mahupun adik beradik berkhidmat dalam tentera.

"Apabila sudah terpilih menjalani latihan selama enam bulan di PUSASDA, saya hanya buat yang terbaik dan mungkin sudah rezeki dinobatkan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik untuk siri ini.

Semua hadiah disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 5:44 PM
Kabinet Malaysia 2020