Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


SEORANG pelancong wanita warga emas dari Amerika Syarikat (AS) dikesan positif koronavirus (Covid-19).

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 22 kes, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berusia 83 tahun itu seorang daripada penumpang sebuah kapal persiaran.

Katanya, kapal persiaran itu berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu.

“Semua penumpang dan anak kapal dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja selepas memaklumkan bahawa saringan kesihatan sudah dijalankan ke atas mereka.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran itu mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada jumlah penumpang berkenaan, wanita warga emas itu dan suaminya dikesan bergejala virus korona sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Katanya, ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan wanita itu disahkan positif hari ini.

“Wanita itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan.

“Buat masa ini, ujian pengesanan Covid-19 bagi suaminya yang berusia 85 tahun dan juga warga Amerika Syarikat lain adalah negatif.

“Namun, suami wanita itu masih menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya,” katanya.

Antara lain, Dr Noor Hisham berkata, makmal IMR adalah makmal rujukan yang dikenal pasti oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi penyakit polio dan influenza.

“Makmal ini juga adalah makmal pertama yang terbabit secara langsung dalam menjalankan ujian diagnostik bagi mengesan Covid-19 di Malaysia.

“Ia memulakan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan Covid-19 ke Malaysia sejak 3 Januari lagi yang mana ‘reagen’ untuk mengesan koronavirus dengan menggunakan kaedah Conventional RT-PCR disediakan.

“Seterusnya, pada 11 Januari apabila ahli saintis dari China berkongsi maklumat genetik Covid-19, Unit Virologi IMR merekacipta urutan reagen yang dikenali sebagai ‘primers and probes specific for COVID-19’ pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, protokol yang digunakan IMR selari dengan protokol real time RT-PCR COVID-19 yang dikeluarkan oleh WHO iaitu mengikut Corman et al., 2020.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Begitu juga, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak yang terbabit

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 10:30 PM
    Digital NSTP Subscribe