ANWAR berucap pada majlis Malam Anugerah ACCIN. FOTO Saifullizan Tamadi
ANWAR berucap pada majlis Malam Anugerah ACCIN. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DATUK Seri Anwar Ibrahim mendesak semua pihak menghentikan desakan supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad segera melepas jawatan.

Presiden PKR itu berkata, Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mempunyai persefahaman dengan isu peralihan kuasa yang akan diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata, peralihan kuasa Perdana Menteri itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini.

“Proses peralihan ini untuk kebaikan negara dan perlu dilakukan secara aman serta teratur.

“Saya harap lepas ini, tiada lagi desakan supaya Perdana Menteri lepaskan kuasa dengan lebih segera, tetapi saya tak boleh biar dua-dua pihak... ada yang tak setuju dan setuju, yang penting PH mesti pegang pada keputusan dan perjanjian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Malam Anugerah Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut melancarkan logo baharu ACCIN.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dan Pesuruhjaya Tinggi Gambia ke Malaysia, Ramzia Diab Ghanim.

Terdahulu, Dr Mahathir menegaskan dirinya tidak terbabit dengan sebarang gerakan atau kumpulan tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan beberapa Ahli Parlimen PKR yang dikatakan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri hingga habis penggal sudah menafikan dakwaan berkenaan.

“Ada segelintir kecil (Ahli Parlimen PKR dikatakan menandatangani SD terbabit)... saya tak tahu tetapi semua nafi, jadi tak apalah. Kalau ada Ahli Parlimen PKR yang tandatangan SD, mereka perlu jawab kepada kepemimpinan parti dan PH.

“Soalnya adalah pendirian parti dan PH yang menyokong kepimpinan Tun (Dr) Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan. Itu pendirian parti dan PH,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:47 PM